Laporan IFSC 2018

Laporan Program International Future Scientist Conference (iFSC) 2018

          Pada 24 Julai hingga 26 Julai 2018 yang lalu, Kolej Permata Pintar telah menganjurkan program International Future Scientist Conference (iFSC) kali ketujuh di Pusat PERMATApintar Negara, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor. Program ini telah disertai oleh semua pelajar Kolej Permata Pintar dan juga pelajar-pelajar sekolah menengah di seluruh Malaysia.

          Pada hari pertama program International Future Scientist Conference, para peserta dari pelbagai sekolah telah tiba di auditorium Pusat PERMATApintar pada waktu tengah hari untuk mendaftar dan seterusnya menyertai majlis perasmian. Seperti tahun-tahun sebelum ini, para pelajar dari negara Jepun telah menyertai program iFSC pada tahun ini.  Para peserta mula sibuk menghias papan pameran masing-masing kerana tetamu-tetamu kehormat akan melawat mereka pada petang itu. Majlis Perasmian International Future Scientist Conference 2018 telah dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Prof Dato' Ir Dr Mohd Marzuki Bin Mustafa. Mentor-mentor para peserta turut menyertai majlis perasmian ini dan majlis telah berjalan dengan lancar. Majlis perasmian ini telah dimeriahkan dengan persembahan yang sangat menarik daripada para pelajar kelab Mini Orkestra.

          Pada hari kedua pula, para peserta kembali menyambung menyiapkan papan pameran masing-masing di auditorium dengan cantik dan kemas. Suasana di auditorium pada pagi itu sangat meriah dan menarik. Pensyarah-pensyarah dari pelbagai fakuli di Universiti Kebangsaan Malaysia telah dijemput sebagai juri untuk menilai penyelidikan para peserta. Para peserta membentangkan dan menerangkan penyelidikan mereka kepada juri dan tetamu yang hadir. Peserta-peserta menerangkan penyelidikan dan inovasi mereka dengan bersemangat dan terperinci. Terdapat banyak bidang penyelidikan yang dapat dilihat dan dipelajari daripada program iFSC ini. Pelajar-pelajar Kolej Permata Pintar juga berpeluang menyertai program ini dengan melawat semua pameran dan mendengar hasil penyelidikan para peserta. Pada waktu petang pula, program diteruskan lagi dengan satu sesi ceramah yang bertajuk "Etika dan Tanggungjawab Seorang Penyelidik". Ceramah ini sangat bermanfaat kerana para pelajar telah didedahkan dengan perkara ini pada peringkat yang lebih awal dimana semua pelajar Kolej Permata Pintar bakal melakukan penyelidikan masing-masing semasa mereka berumur 16 tahun. Ceramah yang disampaikan sangat menarik dan tidak membosankan para pelajar dan peserta.

          Pada hari terakhir program ini, para peserta dan pelajar Kolej Permata Pintar telah menyertai ceramah yang bertajuk "What is Research" di auditorium yang telah disampaikan oleh Prof. Datuk Dr. Noriah. Perkongsian yang disampaikan sangat menarik dan mengagumkan. Para pelajar berpeluang bertanyakan soalan, bertukar-tukar idea serta banyak ilmu pengetahuan yang telah diperoleh. Program diteruskan lagi dengan Majlis Penutupan International Future Scientist Conference 2018 yang telah dirasmikan oleh Prof. Dr. Mohammad Kassim. Pada majlis penutupan ini, keputusan pemenang diumumkan bermula dengan anugerah gangsa, seterusnya perak dan akhir sekali anugerah emas. Para  pemenang dihadiahkan sijil dan medal serta terdapat juga anugerah-anugerah khas yang diberikan kepada para peserta yang meraih penyelidikan terbaik keseluruhan.

          Walaupun program seumpama ini sudah banyak kali dianjurkan oleh pihak Kolej Permata Pintar, namun program ini sangat bermanfaat. Harapan kami agar lebih banyak penyertaan daripada pelajar-pelajar dari pelbagai sekolah menengah seluruh Malaysia dalam program International Future Scientist Conference yang seterusnya.


Sekian, terima kasih.



Yang menjalankan tugas

………………………………………………..
(NUR AFEENA BT MOHAMMAD NAZILI)
Setiausaha, Persatuan Bahasa Malaysia,
Kolej Permata Pintar, Selangor.  
31 Julai 2018

Comments

Popular posts from this blog

Latihan Kesalahan Imbuhan & Ejaan

Latihan Cakap Ajuk Cakap Pindah

Latihan Pengukuhan Tatabahasa 2018 II