Latihan Pengukuhan Tatabahasa 2018 I


Soalan 3: Pengetahuan dan Kemahiran Bahasa

(a) Tulis satu ayat bagi setiap perkataan di bawah supaya jelas menunjukkan bahawa anda faham akan perbezaan maksud dan penggunaannya. Anda tidak boleh menambahkan imbuhan atau menggunakan perkataan itu sebagai peribahasa atau nama khas.

(i)  pulang
 Ibu dan ayah memarahi Syasya kerana pulang ke rumah pada lewat malam.

(ii)  pulangan
Perniagaan roti jala yang diusahakan oleh Mak Lena memberi pulangan yang menguntungkan.

(iii)  memulangkan
Damia meminta Mira untuk memulangkan novel yang dipinjamya secepat mungkin.

(iv)  mansuh
Topik mengenai mansuh PTPTN semakin hangat dibincangkan di kaca televisyen dan media sosial.

(v)  pemansuhan
Kerajaan akan membayar pampasan bagi pemansuhan kutipan tol di Semenanjung Malaysia.

(vi)  memansuhkan
Kerajaan telah memansuhkan peraturan pemakaian kasut putih ke sekolah pada hari ini.

(b) Tulis semula perbualan di bawah dalam bentuk karangan biasa dengan menggunakan cakap pindah.

Kumar     :  Daniel, kau nak ke mana?
Daniel     :  Tak ke mana-mana. Aku nak ambil angin sekejap.
Kumar     :  Wah, Daniel hebat kau sekarang! Semua soalan fizik tadi kau boleh jawab.
Daniel     :  Mana ada?  Biasa aje.
Kumar    :  Apa rahsia kau semakin bijak ni? Kongsilah dengan aku.
Daniel    :  Tak adalah. Aku cuma buat ulangkaji dan belajar dengan abang aku aje.

Kumar menegur Daniel dan bertaya tentang tempat yang ditujuinya. Daniel berkata dia tidak ke mana-mana, cuma hendak mengambil angin sebentar. Kumar menyatakan kekagumannya dan memuji kehebatan Daniel menjawab semua soalan fizik sebentar tadi. Daniel menafikannya dan mengatakan bahawa perkara tersebut biasa sahaja baginya. Kumar bertanyakan rahsia Daniel yang semakin bijak dan memintanya berkongsi rahsia tersebut. Daniel menyatakan bahawa dia tidak mempunyai apa-apa rahsia, cuma mengulangkaji pelajaran dan belajar dengan abangnya sahaja.

(c) Dalam setiap ayat di bawah, terdapat satu kesalahan ejaan dan satu kesalahan dari segi imbuhan. Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu. Bagi setiap ayat, anda tidak boleh menyenaraikan lebih daripada satu kesalahan ejaan dan satu kesalahan dari segi imbuhan. Anda tidak perlu menyalin ayat itu semula.

(i)  Pasar raya besar itu meletak papan tanda khas bagi memudahkan pelangan mereka membeli produk keluaran Industri Kecil dan Sederhana (IKS).

meletak- meletakkan
pelangan- pelanggan

(ii)  Pengalaman luas dalam bidang akaun menjadi batu loncatan kepada wanita tersebut untuk menerajui syarikat konglomerat yang tersuhur itu.

akaun- perakaunan
tersuhur- tersohor

(iii)  Kumpulan jurutera tersebut berlepas ke Jerman pada minggu lalu untuk mendalamkan kemahiran menggunakan jentera berteknoloji tinggi dalam industri cari gali minyak.

medalamkan- mendalami
berteknoloji- berteknologi

(d) Dalam ayat-ayat di bawah terdapat satu kesalahan penggunaan kata atau istilah dan satu kesalahan bahasa. Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu. Bagi setiap ayat, anda tidak boleh menyenaraikan lebih daripada satu kesalahan kata atau istilah dan satu kesalahan tatabahasa. Anda tidak perlu menyalin ayat itu semula.

(i)  Kegiatan luar anak-anak perlulah ibu bapa awasi secara meluas agar mereka tidak terpengaruh dalam masalah sosial.

meluas- menyeluruh
ibu bapa awasi- diawasi oleh ibu bapa

(ii)  Ilmu tentang kehidupan merupakan pengalaman yang berguna kepada para remaja untuk merempuh kehidupan di masa akan datang.

merempuh- menempuh
 di- pada

(iii)  Pihak Kementerian Kesihatan sentiasa mengalu-alukan pemberian darah daripada orang ramai supaya membantu menyelamatkan nyawa pesakit.

pemberian-pendermaan
supaya- untuk

(e) Isi tempat kosong di bawah dengan menggunakan peribahasa yang sesuai dengan maksud ayat tersebut.

Sekolah merupakan institusi formal yang mampu melahirkan modal insan yang akan memajukan  negara. Bagi mencapai matlamat ini, guru-guru hendaklah menjalin hubungan yang erat dengan murid-murid di samping bekerjasama bagai …………….(i)……………… Selain itu, mereka perlulah berusaha dengan gigih dan rajin untuk menempa kecemerlangan kerana …………..(ii)…………………. Sebagaimana yang diketahui, resepi kejayaan seseorang murid ialah permuafakatan antara guru dengan ibu bapa dalam melaksanakan pelbagai program untuk meningkatkan prestasi murid-murid dalam akademik. Apabila bermuafakat, sesuatu kejayaan mudah diperoleh kerana …………….(iii)……………….

(i) aur dengan tebing
(ii) kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya
(iii) muafakat membawa berkat



Comments

Popular posts from this blog

Latihan Kesalahan Imbuhan & Ejaan

Latihan Cakap Ajuk Cakap Pindah

Latihan Pengukuhan Tatabahasa 2018 II